Tuesday, 13 January 2009

Minggu ke 2

Kini sudah masuk minggu ke 2 kita berada di tahun 2009. Tak terasa, seperti baru semalam rasanya kita melangkah ke tahun baru 2009. Sekarang sudah 2 minggu rupanya. Banyak peristiwa berlaku sepanjang 2 minggu yang lalu.

Pesta Pengguna ke 3 baru saja melabuhkan tirainya hari Ahad yang lalu. Pesta yang berlangsung selama 4 hari tersebut berjaya menarik minat orang ramai. Bayangkan saja pada hari terakhir pesta tersebut, jalan raya yang menuju ke Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) begitu padat dengan kenderaan yang semuanya menuju ke sana. Bas ulang alik yang digunakan untuk mengangkut pengunjung dari Stadium Tertutup ke ICC juga penuh sarat dengan penumpang. Hujan yang turun pada petang hari tersebut tidak menghalang orang ramai untuk berkunjung ke sana. Dilaporkan lebih daripada 50,000 orang berkunjung ke pesta tersebut.

Di sebalik kemeriahan-kemeriahan ini, kita jangan lupa dengan tregedi yang berlaku di Semenanjung Gaza yang menyaksikan lebih ramai orang awam yang terbunuh akibat kekejaman rejim Yahudi yang menunjukkan keangkuhan mereka dengan senjata-senjata sofistikated berbanding dengan senjata buatan sendiri orang-orang Palestin yang dirampas tanah kediaman mereka. Sampai bilakah rejim Yahudi tersebut akan membuka minda mereka untuk keamanan dan perdamaian sejagat. Prasangka buruk mereka terhadap penduduk Palestin yang mahu kan tanah kediaman mereka dikembalikan digunakan sebagai alasan untuk melakukan serangan terhadap Palestin sama seperti yang berlaku di Lubnan beberapa tahun yang lalu.

Bagi peminat bolasepak pula, terkeluarnya skuad DPMM FC daripada persaingan Liga Super Malaysia memalapkan rencah bolasepak tempatan. Di arena antarabangsa, kelab Manchester United semakin menunjukkan taring mereka. Penyokong kelab Liverpool pula pastinya tersenyum lebar kerana kelab tersebut terus berada di persada liga Inggeris walaupun semakin mendapat saingan daripada kelab-kelab yang lain.

Beberapa hari lagi, bakal Presiden Amerika, Barak Obama akan mengangkat sumpah selaku presiden. Di harap Presiden Obama akan mengotakan janji beliau untuk membawa arus perubahan bagi keamanan dan perdamaian dan bersikap adil terhadap semua pihak.

Salam perdamaian....

No comments:

Post a Comment