Tuesday, 6 January 2009

Hari Pertama Persekolahan ... 5hb Jan 2009

Kelmarin adalah hari pertama persekolahan di Negara Brunei Darussalam. Pastinya ianya adalah hari yang mendatangkan banyak kisah dan cerita di seluruh sekolah baik sekolah kerajaan mahupun swasta. Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sekolah, pastinya ianya satu pengalaman yang menakutkan kerana terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka. Di tambah lagi dengan suasana yang baru, teman-teman yang belum dikenali menjadikan kanak-kanak tersebut bertambah keliru dan janggal. Maka, adalah yang menangis tak mahu berpisah dengan ibu bapa mereka.

Berbeza dengan ketika saya bersekolah dahulu, suasana kampung dengan teman-teman sebaya menjadikan hari pertama persekolahan seperti hari-hari biasa yang lain cuma bezanya kami dilengkapi dengan unifom sekolah. Lagi pun kerana sekolah yang tidak jauh daripada rumah membuatkan kami terbiasa dengan suasana persekolahan. Keramaian dalam satu kelas pun jauh berbeza dengan sekarang. Kami sekelas cuma 8 orang sahaja (3 lelaki dan 5 perempuan). Sayangnya sekolah tersebut kini cuma tinggal nama sahaja.

Di kesempatan ini saya ini mengucapkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada guru-guru yang telah banyak berjasa kepada saya dan rakan-rakan di sekolah rendah dahulu. Guru-guru tersebut ialah Cg. Ismail Opak (sekarang Dr Ismail Opak), Cg Metali bin Abu Bakar, Cg Mat Yassin, Cg Pengiran Hj Mohammad, Cg Zainah, Cg Metali bin Momin, Cg Allahyarham Pg Hj Besar bin Pg Apong dan Cg Abdul Rahman (Guru Besar).

No comments:

Post a Comment