Saturday, 24 January 2009

Tenis Terbuka Australia

Ketika ini berlangsung kejohanan tenis Terbuka Australia yang merupakan kejohanan pertama dalam siri Grand Slam Tenis. Kejohanan ini disertai oleh pemain-pemain ternama dunia seperti Nadal, Federer, Jankovic dan Williams bersaudara.

Setakat ini antara pemain pilihan yang telah terkeluar termasuklah Venus Williams, Ana Ivanovic dan David Nalbandian. Saya bukanlah berminat sangat dengan sukan tenis ini tetapi sekali sekala ada juga mengikuti perkembangan sukan ini. Apa yang ingin saya tulis di sini bukan lah mengenai apa yang berlaku di dalam gelanggang, tetapi apa yang berlaku di luar gelanggang iaitu keolahan penyokong-penyokong yang agak memalukan kerana telah melupakan semangat kesukanan yang cuba dipupuk dalam apa jua jenis sukan. Selepas perlawanan di antara juara bertahan Djokovic dengan Dolic, para penyokong kedua pemain tersebut telah terlibat dalam pergaduhan dengan cara membaling kerusi antara sesama mereka. Pihak keselamatan terpaksa campur tangan untuk meleraikan para penyokong tersebut. Hairan juga keolahan mereka ini. Tak ada rasa malu langsung... Di harap pihak berkuasa di sana akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

Berita lanjut mengenai kejohanan ini boleh dilayari di www.australiaopen.com




Friday, 23 January 2009

Jangan bersedih....

Tajuk jangan bersedih ini diambil daripada tajuk buku La Tahzan (Jangan Bersedih) yang ditulis oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni.

Melalui buku ini beliau cuba membawa pembaca menyelami kehidupan ini daripada sudut kerohanian dengan membawa petikan-petikan daripada Al-Quraan, hadith dan cerita-cerita sahabat-sahabat Nabi dan para ulama dan kisah-kisah kontemporari. Buku ini banyak membawa pembaca kepada perlunya memperteguhkan iman, menghayati islam dan menyerapkan ihsan dengan cara memperkuatkan kepercayaan dan keyakinan kita kepada Allah yang mengaturkan perjalanan mahkluknya di alam semesta ini.

Kesedihan cuma akan membawa kepada putus asa, kecewa dan patah semangat. Banyak pertunjuk telah diberikan dalam Al-Quraan untuk mengatasi kesedihan ini dan marilah kita kembali menghayati ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Allah melalui kitab yang suci ini. Allah jualah yang maha mengetahui apa yang tersirat di dalam hati-hati manusia dan kepada Allah jua lah kita seharusnya mengadukan segala persoalan kita.


Hujan dan banjir....

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan hujan lebat dan banjir kilat yang melanda sebahagian besar kawasan rendah yang menyebabkan kerosakan yang tidak sedikit kepada harta benda dan meragut dua korban. Selain itu juga banjir kilat tersebut turut menyebabkan terputusnya bekalan api elektrik kepada sebahagian besar kawasan daerah Brunei & Muara.

Memang kejadian ini berlaku dengan pantas dan kebanyakan mangsa tidak bersedia sama seperti yang berlaku ketika tsunami melanda rantau ini pada tahun 2004 yang lalu. Semuanya berlaku sekelip mata dan air melimpah dengan cepat mengatasi keupayaan parit dan sungai untuk mengalirkannya.

Seperti yang disuarakan melalui khutbah jumaat tengahari tadi, semua ini adalah cobaan daripada Allah dan kita selaku umatnya hendaklah banyak-banyak bersabar kerana mungkin ini adalah cara Allah menguji sejauh mana tahap keimanan kita dan jika kita berjaya dengan ujian ini, niscaya akan ditambah lagi nikmat yang diberikan berganda-ganda banyaknya. Oleh yang demikian, layakkah kita mengeluh sangat dengan ujian yang sedikit ini berbanding dengan nikmat yang jauh lebih banyak yang telah Allah kurniakan kepada kita seperti nikmat umur, nikmat kesenangan dan kesejahteraan, nikmat keamanan dan kekayaan.

Tepuk dada, tanya iman kita......






Friday, 16 January 2009

Ulasan Buku

Baru-baru ini saya dihadiahkan buku mengenai dengan kesempurnaan solat hasil kajian Ustaz Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman yang merumuskan cara solat yang sempurna seperti yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W yang dirujuk daripada kitab-kitab yang muktabar ulama fiqh dan hadis.



Buku ini berguna untuk muhasabah kesempurnaan solat kita sama ada solat yang kita dirikan selama ini betul-betul sempurna atau sebaliknya. Buku ini walau bagaimana pun cuma sebagai panduan sahaja. Untuk mendalami lagi ibadah sembahyang ini, ada eloknya kita bertanya ataupun berguru kepada orang-orang yang lebih arif mengenai sembahyang ini atau pun ikut kursus kesempurnaan solat ini dengan Ustaz Zaharuddin.

Buku ini memberikan keutamaan kepada cara solat menurut mahzab Syafi'i yang banyak diamalkan oleh penduduk Islam di rantau ini. Dalam apa hal jua pun, kita hendaklah bersikap berlapang dada dalam menerima ilmu dan elakkan daripada berbantah-bantahan dalam isu-isu mengenai perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam mahzab yang empat kerana perbezaan-perbezaan itu tidak menjejaskan solat. Buku ini juga sarat dengan ilustrasi bergambar untuk lebih memperjelaskan kaedah yang diterangkan.

Terima kasih Tina di atas pemberian buku ini. Semoga Allah membalas budi mu.

Ya Allah, bantulah kami dalam usaha kami untuk memperelokkan dan menyempurnakan solat kami.

Tuesday, 13 January 2009

Berhembus Angin Malam...

Berhembus angin malam dari Broery Marantika... salah satu lagu "evergreen" yang menjadi kegemaran saya.

Minggu ke 2

Kini sudah masuk minggu ke 2 kita berada di tahun 2009. Tak terasa, seperti baru semalam rasanya kita melangkah ke tahun baru 2009. Sekarang sudah 2 minggu rupanya. Banyak peristiwa berlaku sepanjang 2 minggu yang lalu.

Pesta Pengguna ke 3 baru saja melabuhkan tirainya hari Ahad yang lalu. Pesta yang berlangsung selama 4 hari tersebut berjaya menarik minat orang ramai. Bayangkan saja pada hari terakhir pesta tersebut, jalan raya yang menuju ke Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) begitu padat dengan kenderaan yang semuanya menuju ke sana. Bas ulang alik yang digunakan untuk mengangkut pengunjung dari Stadium Tertutup ke ICC juga penuh sarat dengan penumpang. Hujan yang turun pada petang hari tersebut tidak menghalang orang ramai untuk berkunjung ke sana. Dilaporkan lebih daripada 50,000 orang berkunjung ke pesta tersebut.

Di sebalik kemeriahan-kemeriahan ini, kita jangan lupa dengan tregedi yang berlaku di Semenanjung Gaza yang menyaksikan lebih ramai orang awam yang terbunuh akibat kekejaman rejim Yahudi yang menunjukkan keangkuhan mereka dengan senjata-senjata sofistikated berbanding dengan senjata buatan sendiri orang-orang Palestin yang dirampas tanah kediaman mereka. Sampai bilakah rejim Yahudi tersebut akan membuka minda mereka untuk keamanan dan perdamaian sejagat. Prasangka buruk mereka terhadap penduduk Palestin yang mahu kan tanah kediaman mereka dikembalikan digunakan sebagai alasan untuk melakukan serangan terhadap Palestin sama seperti yang berlaku di Lubnan beberapa tahun yang lalu.

Bagi peminat bolasepak pula, terkeluarnya skuad DPMM FC daripada persaingan Liga Super Malaysia memalapkan rencah bolasepak tempatan. Di arena antarabangsa, kelab Manchester United semakin menunjukkan taring mereka. Penyokong kelab Liverpool pula pastinya tersenyum lebar kerana kelab tersebut terus berada di persada liga Inggeris walaupun semakin mendapat saingan daripada kelab-kelab yang lain.

Beberapa hari lagi, bakal Presiden Amerika, Barak Obama akan mengangkat sumpah selaku presiden. Di harap Presiden Obama akan mengotakan janji beliau untuk membawa arus perubahan bagi keamanan dan perdamaian dan bersikap adil terhadap semua pihak.

Salam perdamaian....

Hujan dan Pemandu...

Pagi tadi hujan turun dengan lebatnya... Keadaan jalan raya menjadi sesak dan perjalanan menjadi tersekat-sekat. Sungguh sesuatu yang melesukan walaupun pada waktu pagi ketika tenaga baru mula meningkat.

Apa yang ingin saya perkatakan bukan mengenai hujan, tetapi sikap sesetengah pemandu yang tidak bertimbang rasa terhadap pemandu dan pengguna yang lain. Ketika perjalanan tersekat-sekat begitu dalam keadaan jalan yang basah, masih ada pemandu yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri dengan cara memotong giliran kenderaan sesuka hati mereka menggunakan laluan yang paling kiri. Kita tahulah mereka hendak cepat, tetapi bertimbang rasa lah dengan pengguna jalan yang lain. Pemandu yang lain pun juga ingin cepat, tetapi dengan bersikap sedemikian bukan saja menambah kesesakan malah menambah dosa pemandu-pemandu yang mengikut giliran kerana mungkin hati mereka menyumpah seranah pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa tersebut.

Sama-sama kita menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan bertimbang rasa

Tuesday, 6 January 2009

Hari Pertama Persekolahan ... 5hb Jan 2009

Kelmarin adalah hari pertama persekolahan di Negara Brunei Darussalam. Pastinya ianya adalah hari yang mendatangkan banyak kisah dan cerita di seluruh sekolah baik sekolah kerajaan mahupun swasta. Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sekolah, pastinya ianya satu pengalaman yang menakutkan kerana terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka. Di tambah lagi dengan suasana yang baru, teman-teman yang belum dikenali menjadikan kanak-kanak tersebut bertambah keliru dan janggal. Maka, adalah yang menangis tak mahu berpisah dengan ibu bapa mereka.

Berbeza dengan ketika saya bersekolah dahulu, suasana kampung dengan teman-teman sebaya menjadikan hari pertama persekolahan seperti hari-hari biasa yang lain cuma bezanya kami dilengkapi dengan unifom sekolah. Lagi pun kerana sekolah yang tidak jauh daripada rumah membuatkan kami terbiasa dengan suasana persekolahan. Keramaian dalam satu kelas pun jauh berbeza dengan sekarang. Kami sekelas cuma 8 orang sahaja (3 lelaki dan 5 perempuan). Sayangnya sekolah tersebut kini cuma tinggal nama sahaja.

Di kesempatan ini saya ini mengucapkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada guru-guru yang telah banyak berjasa kepada saya dan rakan-rakan di sekolah rendah dahulu. Guru-guru tersebut ialah Cg. Ismail Opak (sekarang Dr Ismail Opak), Cg Metali bin Abu Bakar, Cg Mat Yassin, Cg Pengiran Hj Mohammad, Cg Zainah, Cg Metali bin Momin, Cg Allahyarham Pg Hj Besar bin Pg Apong dan Cg Abdul Rahman (Guru Besar).

10 Muharram - Hari Asyura

6.22 petang ini, masuk sudah 10hb Muharram 1430H. Hari ini biasa juga dipanggil hari Asyura. Banyak kisah yang dikaitkan dengan hari Asyura ini, seperti, hari bahtera Nabi Nuh diselamatkan Allah dan terdampar di daratan selepas bumi ditenggalami air bah yang dahsyat, Nabi Ibrahim diselamatkan dan dikeluarkan dari api raja Namrud, Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan dan banyak lagi kisah-kisah mengenai hari Asyura.

Bagi kita di Brunei Darussalam, Asyura tidak begitu diperingati. Kalau zaman kanak-kanak dahulu, nenek saya akan menyediakan bubur yang terdiri daripada ubi belayar (berwarna unggu), ubi manis dan ubi keledek. Memang sedap makan bubur di zaman dulu-dulu itu. Sekarang ini tak kedengaran orang tua-tua menyediakan bubur seperti orang tua-tua dahulu.

Walau apapun, diucapkan selamat menyambut hari Asyura dengan memperbanyakkan sedekah atau derma, memperbanyakkan zikir mengingati Allah, bermuhasabah diri, menjalinkan silaturrahim dan sebagainya. Cuma jangat dicampur dengan perkara-perkara khurafat sudahlah, seperti yang pernah saya baca tentang kejadian khurafat yang diamalkan oleh sesetengah orang Islam di Sabah apabila menyambut tahun baru Masehi baru-baru ini dengan menyelam di laut yang bertujuan membuang sial. Astaghfirullah....

Ya Allah, bantulah kami dalam menjalani kehidupan ini menurut syariat Mu. Amin

Friday, 2 January 2009

Catatan Perjalanan ... Kota Kinabalu


Suasana 1Borneo ....

Penghujung tahun 2008, membawa kami berkelana ke Kota Kinabalu selama 3 hari 3 malam (28-31 Dis 2008). Perjalanan menggunakan kapal terbang dari BSB mengambil masa kira-kira 25 minit. Sesampai di KK dan keluar daripada lapangan terbang, waktu sudah menunjukkan pukul 6.30 petang dan suasana agak gelap beserta awan mendung.

Perjalanan ke hotel memakan masa kira-kira 30 minit di kesesakan jalan raya menuju 1Borneo yang menjadi kunjungan ramai penduduk Brunei. Setelah check-in, kami semua makan di tempat makan di tkt bawah 1Borneo. Malam tersebut, begitu ramai orang yang makan malam di kedai tersebut sehingga servis agak lambat membuatkan sebahagian pengunjung terpaksa membatalkan permintaan makanan mereka kerana tidak tahan menunggu. Harga makanan, masya Allah, dengan 4 jenis hidangan dan minuman mencecah sehingga B$70 bagi 8 orang.

Selepas makan kami berjalan-jalan di sekitar 1Borneo dan membeli sedikit barangan. Ramai juga orang Brunei yang kami temui di sana termasuk kaum keluarga yang sudah beberapa hari berada di KK.