Di petik daripada buku Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif karya Tengku Asmadi, Ph.D
Beberapa tahun dahulu, seorang bapa yang mempunyai lima orang anak membuat keputusan memasukkan dua orang anaknya yang terakhir ke program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan. Beliau menceritakan, dua orang anak bungsunya ini tidak seperti abang dan kakak mereka. Katanya sekarang anak-anak pertama hingga ketiga semuanya berada di universiti dan berjaya. Mereka juga cukup menjadi solat, mendengar nasihat, baik akhlak dan pekertinya. Tetapi dua anaknya yang terakhir ini cukup memeningkan. Mereka juga terlibat dengan rakan-rakan yang negatif dan melibatkan diri dengan aktiviti melepak, merokok, merempit dan sebagainya.
Lalu saya terfikir, mungkin pendekatan yang digunakan oleh bapa ini dengan anak-anak bungsunya berbeza. Mungkin mereka dimanjakan lebih daripada kakak dan abang. Mungkin ketegasan bapa tidak seperti kepada tiga anak yang pertama. Namun katanya semua itu tidak benar. Katanya, sejak dahulu sehingga sekarang, pendekatannya dengan anak-anak tidak berubah.
Akhirnya, saya bertanya bagaimana pula dengan sumber makanan yang diberikan kepada anak-anak. Mungkin datang daripada sumber yang meragukan. Ketika itu wajah bapa itu berubah dan dia terdiam. Lalu dia bersuara dengan nada perlahan. "Betul tuan, saya silap. Dahulu waktu mula-mula bekerja, saya cukup anti apabila rakan-rakan menerima rasuah. Tetapi, selepas sepuluh tahun bekerja di situ dan dikelilingi oleh mereka yang biasa menerima rasuah, akhirnya saya terlibat sama. Itulah rezeki yang saya berikan pada anak-anak saya ini. Lebih-lebih lagi, dua anak yang terakhir ini sejak lahir hingga sekarang mereka disuap dengan rezeki yang haram". Wajahnya sugul, kesal dan serba salah. Saya sarankan kepadanya untuk melakukan solat taubah, solat hajat dan ubah sikapnya yang suka menerima rasuah itu. Tuhan itu maha penyanyang. Jika kita benar-benar insaf dan menyesal, maka Tuhan tentu menerima taubat hambanya. Tidak berapa lama selepas itu, si bapa itu menelefon saya dan menceritakan yang dia sudah nampak perubahan positif dalam diri anak-anak.
Demikiannya secebis kisah yang sangat berguna sebagai pengajaran bagi kita selaku ibu bapa untuk mempastikan rezeki yang kita berikan kepada anak-anak kita adalah bersumber daripada yang halal dan baik. Disamping itu kita kena tingkatkan lagi ibadah kita dan jangan berputus asa dalam mendidik anak-anak kerana seperti yang pernah disarankan oleh Dr Fadzilah Kamsah, kerana jika kita putus asa ada makhluk yang suka dan lebih mudahlah usaha dia, tak lain tak bukan ialah iblis. Iblis memang tak pernah putus asa dalam menggoda anak Adam supaya mengikut jejak langkahnya. Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha semoga Allah akan memberikan kekuatan dan semangat untuk mendidik anak-anak kita ke jalan yang baik dan diredhai. Amin
No comments:
Post a Comment