Sunday, 23 November 2008

Pantai Muara

Sudah sekian lama juga tidak berkunjung ke Pantai Muara. Jadinya petang tadi kami sekeluarga sepakat untuk berkelah ke sana.



Anak-anak begitu gembira sekali... maklum sudah lama tidak ke sana. Sebelum bertolak, masing-masing sudah membuat persediaan dengan pakaian tambahan dan tuala mandi kerana mereka merancang untuk mandi di pantai.

Laluan masuk ke pantai tersebut tersekat kerana pengunjung-pengunjung meletakkan kereta mereka dikedua tepi jalan masuk menyebabkan laluan dua hala menjadi satu hala dan menyukarkan kereta untuk keluar dan masuk ke kawasan tersebut. Lagi satu tabiat orang-orang kita yang sukar untuk diubah.

Setelah meletak kereta, anak-anak begitu teruja untuk terus mandi. Cuaca juga begitu redup dan mengizinkan petang tadi. Jadinya anak-anak boleh bermain di pantai dengan cuaca yang nyaman dan segar. Di sekitar pantai tersebut ramai juga pengunjung yang datang. Lebih-lebih lagi hari minggu dan cuti persekolahan juga sudah agak dekat. Ada yang sekadar membawa anak-anak bermain di taman permainan dan ada juga yang berkeluarga besar mengadakan barbeque sambil bermain bola dan layang-layang.

Tiba masa untuk pulang.... Sebelum pulang, kami membersihkan diri terlebih dahulu. Lagi satu suasana yang menyedihkan. Terdapat kurang kemudahan untuk membersihkan badan seperti paip mandi dan bau daripada tandas yang kurang menyenangkan. Sayang sekali... kerana persekitaran pantai yang cukup indah itu tidak begitu terpelihara terutama sekali tandas dan bilik persalinan. Semua pihak seharusnya sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan demi kebaikan dan kemudahan pengunjung-pengunjung yang memerlukannya.

Satu hal lagi yang dikesalkan ialah terdapatnya sikap segolongan pengunjung yang membiarkan sampah sarap berselerak tanpa ada rasa sosial untuk membuangnya dalam tong sampah yang disediakan.

Sayangi pantai kita....

No comments:

Post a Comment