Sunday, 23 November 2008

Pantai Muara

Sudah sekian lama juga tidak berkunjung ke Pantai Muara. Jadinya petang tadi kami sekeluarga sepakat untuk berkelah ke sana.



Anak-anak begitu gembira sekali... maklum sudah lama tidak ke sana. Sebelum bertolak, masing-masing sudah membuat persediaan dengan pakaian tambahan dan tuala mandi kerana mereka merancang untuk mandi di pantai.

Laluan masuk ke pantai tersebut tersekat kerana pengunjung-pengunjung meletakkan kereta mereka dikedua tepi jalan masuk menyebabkan laluan dua hala menjadi satu hala dan menyukarkan kereta untuk keluar dan masuk ke kawasan tersebut. Lagi satu tabiat orang-orang kita yang sukar untuk diubah.

Setelah meletak kereta, anak-anak begitu teruja untuk terus mandi. Cuaca juga begitu redup dan mengizinkan petang tadi. Jadinya anak-anak boleh bermain di pantai dengan cuaca yang nyaman dan segar. Di sekitar pantai tersebut ramai juga pengunjung yang datang. Lebih-lebih lagi hari minggu dan cuti persekolahan juga sudah agak dekat. Ada yang sekadar membawa anak-anak bermain di taman permainan dan ada juga yang berkeluarga besar mengadakan barbeque sambil bermain bola dan layang-layang.

Tiba masa untuk pulang.... Sebelum pulang, kami membersihkan diri terlebih dahulu. Lagi satu suasana yang menyedihkan. Terdapat kurang kemudahan untuk membersihkan badan seperti paip mandi dan bau daripada tandas yang kurang menyenangkan. Sayang sekali... kerana persekitaran pantai yang cukup indah itu tidak begitu terpelihara terutama sekali tandas dan bilik persalinan. Semua pihak seharusnya sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan demi kebaikan dan kemudahan pengunjung-pengunjung yang memerlukannya.

Satu hal lagi yang dikesalkan ialah terdapatnya sikap segolongan pengunjung yang membiarkan sampah sarap berselerak tanpa ada rasa sosial untuk membuangnya dalam tong sampah yang disediakan.

Sayangi pantai kita....

Saturday, 22 November 2008

Pesta Melawat Sabah

Saya berada di Mall tengahari tadi dan berkesempatan menyaksikan Pesta Melawat Sabah 2008 yang diadakan di lantai bawah the Mall, Gadong.





Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional Sabah disamping pameran daripada beberapa agen pelancungan dari Sabah dan hasil kraftangan.







Friday, 21 November 2008

Hujan.....

Hujan.. hujan... hujan....

Ada yang suka, ada yang kurang senang malah mengeluh bila hujan turun... Walau apa pun, suka atau tidak, semuanya datang daripada Allah. Sesungguhnya, Allah yang menjadikan nya, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk semua makhluknya.

Allah jadikan hujan untuk menyuburkan tanam-tanaman, untuk menjadi minuman kepada makhluknya dan untuk memenuhkan tasik-tasik yang menjadi takungan air dan mengalirkan sungai-sungai yang sejuk dan segar.

hujan... hujan... hujan

Sesungguhnya kadang-kadang apa yang kita tidak suka, mungkin itu yang lebih baik menurut Allah. Apa yang kita suka, mungkin tidak disukai oleh Allah.

Apapun, bersyukurlah dengan pemberian Allah... kerana berapa banyak tempat yang tandus, kering yang tidak menerima air hujan dan mereka sanggup membayar harga yang mahal untuk mendapatkan sumber air yang bersih. Air bagi mereka, ternyata lebih berharga.

Jimatkan air dan gunakan dengan bijaksana....

Khutbah Jumaat... bising...

Satu perkara yang menarik perhatian saya pada tengahari tadi semasa sembahyang jumaat ialah suasana bising ketika khatib sedang menyampaikan khutbah jumaat di masjid tempat saya sembahyang jumaat. Yang lebih memalukan lagi ianya dilakukan oleh orang-orang dewasa yang sepatutnya sudah memahami nasihat bilal yang menyeru supaya semua jemaah tidak bercakap-cakap ketika khatib sudah berada di atas mimbar. Malangnya nasihat tersebut seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kejadian seperti ini bukan berlaku di masjid tempat saya sembahyang tadi, tapi mungkin di masjid-masjid yang lain juga. Perkara ini sudah banyak disentuh dan pernah dikhutbahkan sebelum ini.... Di mana silapnya. Kalau perbuatan ini dibuat oleh kanak-kanak, rasanya masih lagi boleh dimaafkan kerana mereka mungkin kurang mengerti... maklum sahaja, mereka dengan tabiat mereka... Tapi ini orang dewasa... Bukan lama pun, sekitar 20 minit sahaja kita diperlukan mendiamkan diri sebelum sembahyang jumaat didirikan.

Gunakan lah kesempatan yang ada pada hari jumaat ini yang cuma datang seminggu sekali... ditakuti kita terlepas daripada mendapatkan fadilat hari jumaat yang banyak itu.... Ya Allah, panjangkan lah umurku untuk dapat bertemu dengan hari jumaat yang akan datang.


gambar hiasan....

Memelihara Diri...

Khutbah jumaat tengahari tadi menyentuh perihal pentingnya kita memelihara diri daripada kerosakan. Khutbah tersebut secara khusus menyentuh tentang kemalangan jalan raya. Apa yang akan terjadi jika kita terlibat dalam kemalangan, bagaimana dengan ahli-ahli keluarga kita dan mangsa-mangsa yang lain.

Jika kita selak akhbar-akhbar, banyak berita-berita yang berkisar dengan kemalangan-kemalangan jalan raya yang melibatkan kerosakan kereta, harta benda awam dan lebih tragis lagi kehilangan nyawa. Contohnya semasa hari raya yang baru lalu, di mana kita seharusnya bergembira bukan berduka dengan kehilangan ahli keluarga kita. Mungkin ada orang mengatakan ini sudah takdir, tapi dengan usaha dan ikhtiar, walaupun mungkin ajal kita, kita boleh mengelakkan takdir yang kurang menyenangkan itu. Jadikan jalan raya itu sebagai alat penghubung bagi kita untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jangan kerana gara-gara untuk cepat sampai, kita mengabaikan peraturan dan keselamatan orang lain.

Pandu dengan cermat dan mengikut peraturan.


gambar hiasan.....

Tuesday, 18 November 2008

Peperiksaan... Jalan Lengang... Cuti Sekolah

Jika awda masih menghantar anak-anak ke sekolah pada waktu pagi di sekitar Bandar Seri Begawan, terasa suasana yang agak berbeza daripada bulan-bulan sebelumnya. Jalan raya agak lengang dan jumlah kereta juga agak berkurangan.

Ini adalah kerana musim peperiksaan bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Bawah (PMB) dan 'O' Level and 'A' Level. Jadinya jumlah penuntut sedikit berkurangan kerana yang tinggal cuma penuntut-penuntut Menengah 1,2 dan 4. Waktu mengambil anak-anak di tengahari juga agak senang sedikit kerana jumlah kenderaan yang berkurangan.

Sekarang ini pun peperiksaan penggal akhir juga kebanyakkannya sudah selesai dan penuntut-penuntut cuma mengikuti aktiviti-aktiviti kegiatan luar sekolah seperti sukan, lawatan dan sebagainya. Bagi anak-anak yang telah berusaha sepanjang tahun dalam bidang akademik dan ECA, didoakan akan memperolehi kejayaan yang mereka cari. Bagi yang cuma cukup-cukup makan sahaja, jangan biarkan diri di takuk lama. Tingkatkan lagi usaha. Study smart not just hard.

Cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi cuti penggal akhir akan bermula. Sepanjang cuti selama sebulan itu nanti, akan ada saja aktiviti yang dibuat oleh anggota keluarga masing-masing seperti membawa anak-anak berkelah, mengunjungi sanak saudara yang tinggal berjauhan di daerah lain dan bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada minggu kedua bulan Disember nanti.

Dalam keseronokan menyambut cuti persekolahan ini, ibu bapa diseru supaya memata-matai anak masing-masing dan mengisi masa lapang tersebut dengan kegiatan-kegiatan yang berfaedah bersama keluarga. Gunakan lah peluang yang ada ini untuk lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Selamat bercuti dan bersemangat untuk menghadapi persekolahan bagi tahun yang akan datang.

Keputusan PSR 2008

Tahniah saya ucapkan kepada anak-anak yang lulus dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah 2008 yang telah diadakan pada bulan Oktober yang lalu. Keputusan PSR diumumkan pada hari Sabtu 15hb November. Bagi anak-anak yang memperolehi kejayaan yang cemerlang, diharap akan terus mengekalkan usaha mereka apabila berada di tingkatan satu nanti. Kepada anak-anak yang kurang berjaya diharap akan dapat berusaha lebih gigih lagi. Anggaplah kegagalan ini sebagai satu dorongan untuk anak-anak lebih berjaya dimasa akan datang. Apa yang penting ialah kefahaman terhadap apa yang dipelajari oleh guru-guru di sekolah anak-anak. Jika ada sesuatu yang kurang difahami, janganlah merasa takut untuk bertanya kepada guru anak-anak, kerana guru-guru tersebut ditugaskan untuk mendidik anak-anak dan mereka juga ingin melihat kejayaan anak-anak semua.

Walau apapun, ibu bapa juga berperanan penting dalam memastikan anak-anak mengikuti satu disiplin pengajian di rumah yang memberikan banyak ruang kepada anak-anak untuk belajar dan bertanya apa juga pelajaran yang kurang mereka fahami. Dalam satu buku yang pernah saya baca, anak-anak harus ditanamkan rasa suka dan minat kepada apa yang dipelajarinya kerana dengan minat dan kesukaan tersebut akan timbul keinginan untuk belajar. Luangkan sedikit masa biskita untuk bersama anak-anak mentelaah atau membuat kerja rumah mereka. Seperkara lagi ialah melakukan latihan ulangkaji apa-apa juga yang dipelajari. Practice makes perfect.

Tahniah….

Sunday, 16 November 2008

Kapal Belia 2008 meninggalkan Brunei Darussalam...

Nippon Maru yang singgah berlabuh di Negara Brunei Darussalam daripada 6hb-9hb November 2008 belayar meninggalkan negara kita menuju destinasi seterusnya, Jakarta Indonesia pada petang 9hb November 2008 dengan membawa seribu kenangan dan peristiwa kepada peserta-peserta kapal belia daripada 10 buah negara ASEAN dan Jepun itu.

Biasanya pada setiap berakhirnya program di setiap negara yang disinggahi, suasana akan lebih mengharukan kerana belum pun lama mengenali keluarga angkat masing-masing, kini sudah tiba masanya untuk berpisah. Sebagai bekas peserta kapal belia, saya dapat merasakan kesedihan yang dirasakan setiap kali harus berpisah dengan keluarga angkat masing-masing.

Semoga ikatan yang telah dibina diantara peserta-peserta kapal belia tersebut dengan keluarga angkat masing-masing akan terjalin kukuh dan berkekalan sampai bila-bila. Biarlah tempoh program keluarga angkat selama 3 hari 2 malam itu akan menjadi jambatan yang kukuh ke arah perpaduan yang erat, kerukunan dan kedamaian.

Selamat Belayar Nippon Maru.

Lain Yang Dicari......

Pagi tadi kami sekeluarga merancang untuk pergi menghadiri Pesta Buah-buahan di Kampong Menengah. Kami bertolak sekitar jam 10.00 pagi dan tiba di daerah Tutong kira-kira 30 minit kemudian melalui Jalan Tutong dan menyimpang ke Jalan Lamunin.

Oleh kerana ini pertama kali ingin ke Kampong Menengah, kami tersasar kerana mengharapkan akan ada tanda jalan yang menunjukkan arah Kampong Menengah. Tapi kami tak ternampak pun sebarang tanda Kampong Menengah. Kami tersasar menuju Kampong Rambai setelah simpang empat di Kampong Lamunin. Mengingatkan Kampong Menengah mungkin selepas Kampong Rambai, kami pun terus saja mengikuti jalan tersebut. Tak jumpa lagi Kampong Menengah....



Tanda jalan menuju Tasik Merimbun....

Akhirnya kami sampai ke Kampong Merimbun. Oleh kerana ini pertama kali sampai ke sana, kami pun teruskan saja perjalanan yang membawa ke Tasik Merimbun yang terkenal dengan keindahan alamnya. Memang benar... seperti yang selalu disaksikan di kaca tv dan gambar-gambar sebelum ini. Keindahan alamnya cukup mempersona dengan dikelilingi oleh tumbuhan yang menghijau, air tasik yang tenang dan bunyi burung-burung yang berkicauan. Sungguh satu pengalaman yang mengasyikkan. Lain yang dihajati, lain pula yang ditemui....




Bak kata orang, alang-alang sudah sampai di sana, kita nikmati saja keindahan alam pemberian Allah ini. Kami singgah di Taman Warisan Asean Tasik Merimbun yang memuatkan fakta-fakta bersejarah dan menarik mengenai tasik tersebut seperti tumbuhan dan juga haiwan yang tinggal di sekitarnya. Tak ramai orang yang singgah di sana. Adalah 5-6 orang penunjung sebelum kami yang singgah pada hari tersebut. Kami disambut mesra oleh petugas di sana.. Sebelum berlepas saya sempat merakamkan beberapa pemandangan pohon-pohon yang menghijau.


...Papan tanda dipintu masuk dan layanan mesra petugas-petugas di Taman Warisan Asean ....

Dari Tasik Merimbun kami beredar pula ke jalan menuju Kampong Long Mayan. Di beberapa tempat kami terpandang beberapa bendang sawah padi yang baru mula ditanam. Walau pun kampong ini agak jauh di pedalaman, kebajikan dan hal ehwal mereka tetap diberikan perhatian oleh pihak Kerajaan seperti kemudahan jalan raya yang baik, bekalan api elektrik, telefon dan air.

Disepanjang jalan ada saja gerai-gerai kecil yang didirikan untuk menjual buah-buahan. Salah satu yang kami sempat singgahi ialah gerai yang menjual buah rambutan di Kampong Rambai. Kami sempat bertanya pada penjual rambutan tersebut arah menuju Kampong Menengah.



Kami akhirnya sampai juga ke destinasi yang kami hajati. Tetapi cuaca agak tidak mengizinkan kerana hujan turun ketika kami sampai ke sana dan jalan menuju Pesta tersebut agak becak dan licin. Tidak banyak buah-buahan yang dijual. Mungkin sudah banyak dibeli oleh pengunjung yang datang awal sebelum kami. Walau bagaimana pun kami sempat membeli buah mata kucing dan langsat sebelum memutuskan untuk pulang... Walau pun tak dapat apa yang dihajati, tetapi kami kembali dengan satu kepuasan... menerokai tempat yang belum pernah kami kunjungi. Insya Allah jika keadaan mengizinkan, kami pasti akan kembali ke Tasik Merimbun lagi. Kali ini mungkin lebih bersedia......


Saturday, 15 November 2008

Musim Buah....

Negara kita sekarang berada dalam musim buah. Di mana-mana terdapat pelbagai jenis buah-buah dijual, di gerai-gerai, pasar malam, di tepi-tepi jalan dan orang-orang persendirian yang mempunyai pelanggan mereka masing-masing.

Antara buah-buah yang cukup popular dijual ialah rambutan, durian, mata kuching, tibadak dan kembayau.



Harga yang ditawarkan juga cukup menarik. Jadinya bagi mereka yang suka makan buah-buahan, jangan lepaskan peluang ini. Di kawasan kampong yang agak jauh daripada bandar seperti Kg Junjungan, Masin dan Limau Manis, terdapat deretan pokok buah-buahan yang berbuah lebat yang cuma menanti untuk dipetik.

Ianya mengingatkan saya ketika masih kecil dahulu dimana di sekitar rumah terdapat berbagai jenis pokok buah-buahan dan apabila tiba musim buah, kami lah yang selalu sibuk memetiknya untuk dijual. Tetapi itu semua cuma tinggal kenangan....

Siri Ceramah Mufti

Pagi tadi, rangkaian Nur Islam menyiarkan lagi rakaman siri ceramah Mufti Kerajaan Brunei sebagai sambungan daripada ceramah YB Pehin mengenai dengan fadilah membaca ayat-ayat suci Al-Quraan. Sehari sebelumnya YB Pehin menyentuh mengenai dengan fadilah membaca Surah An-Nas.

Kali ini YB Pehin menyentuh mengenai dengan kelebihan membaca ayat 128-129 daripada surah At-Taubah yang mengisahkan tentang seorang sahabat yang telah diberikan kemuliaan oleh Allah dengan syurga berkat kesungguhannya mengamalkan ayat-ayat tersebut sejak lebih 80 tahun usianya disamping amalan-amalan wajib yang telah diperintahkan oleh Allah kepada sahabat tersebut.Tahniah YB Pehin di atas usaha-usaha YB Pehin untuk menyebar-luaskan lagi syiar Islam di bumi bertuah Brunei Darussalam ini. Cuma harapan saya jika ceramah-ceramah YB Pehin ini dapat dirakam kedalam media CD dan orang ramai boleh mendapatkannya ataupun membelinya.

Setuju tak dengan cadangan ini...???

Friday, 14 November 2008

Doa....

Khutbah Jumaat tengahari tadi memperkatakan tentang doa... Betapa pentingnya berdoa sehingga dikatakan bahawa sesiapa yang tidak mengendahkan untuk berdoa kepada Allah sebagai orang-orang sombong terhadap Allah.

Khutbah tersebut juga memperkatakan tentang kaitan doa dengan sumber rezeki. Sumber rezeki yang halal dan bersih adalah antara syarat bagi doa diterima oleh Allah. Marilah kita berusaha sebaik mungkin untuk mempastikan rezeki yang kita terima dan kita hidangkan kepada ahli keluarga kita adalah halal dan bersih semoga hati kita menjadi bersih dan dengan itu lebih mudah lah doa kita diterima. Juga disebutkan saat-saat atau waktu yang mustajab berdoa antaranya semasa bersujud, di bulan Ramadan, Hari Raya.

Oleh yang demikian marilah kita memperbanyakkan doa dan permohonan kepada Allah sebagai tanda bahawa kita ini sebagai hamba yang lemah yang memerlukan pertolongan dan bantuan daripadaNya.

Fotografi

Minat untuk aktif semula dengan fotografi timbul setelah melihat ramai rakan-rakan sekerja dengan kamera digital SLR masing-masing dan mempunyai fotoblog. Waktu mula-mula menimbangkan jenama mana yang harus saya dapatkan, ramai juga rakan-rakan mencadangkan jenama seperti Nikon dan Canon. Tapi saya lebih tertarik dengan jenama Nikon kerana semasa zaman kamera analog dulu pun, saya sudah menggunakan jenama Nikon. Jadinya sudah terbiasa dengan kamera jenama tersebut.

Akhirnya saya mendapatkan kamera Nikon D80 (terpakai) yang dibeli daripada kawan rakan sepejabat saya. Semasa belayar ke Singapura baru-baru ini, saya membeli buku Digital Field Guide Nikon D80. Melalui buku ini saya dapat mempelajari sedikit sebanyak tips and panduan untuk meningkatkan lagi kefahaman saya mengenai fotografi. Dipaparkan sebahagian daripada gambar yang saya ambil. Jika terdapat komen, dipersilakan.....



... buku D80 field guide


pedas ni...


gambar diambil daripada beranda rumah

Selamat Menunaikan Ibadah Haji

Alhamdulillah, penerbangan pertama bakal jemaah haji daripada Negara Brunei Darussalam telah berlepas menuju tanah suci pada pagi kelmarin (13hb Nov 2008).

Saya turut mendoakan semoga mereka akan beroleh haji yang mabrur disamping menjaga keolahan dan mengamalkan sikap yang baik kerana mereka bakal berhadapan dengan pelbagai karenah dan "ulah-ulah" yang mungkin membangkitkan rasa tidak senang dan ketidak puasan hati.

Perbanyakkan lah bersabar kerana tujuan kesana adalah untuk memenuhi undangan Allah dan sebagai tetamu semestinyalah mengekalkan adab-adab selaku tetamu. Takkan lah nak berbuat perkara-perkara yang kurang elok dengan tuan rumah....betul tak?

Friday, 7 November 2008

Musim Haji menjelang lagi


Bulan Zulhijjah kembali lagi....

Alhamdulillah bermula 13hb November ini, para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam akan mula meninggalkan negara menuju ke tanah suci Makkah dan Madinah.

Para bakal jemaaah haji di negara ini sesungguhnya bertuah kerana Kerajaan Kebawah Duli Maha Mulia melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama memberikan perhatian yang khusus mengenai pengetahuan dan ilmu mengenai haji supaya mereka dapat mengerjakan ibadah tersebut dengan baik dan teratur menurut syariat dan peraturan.

Beruntunglah mereka yang akan berangkat ke tanah suci menyahut panggilan Allah. Bagi yang belum berpeluang ke sana, tanamkan niat untuk satu hari nanti akan berkunjung ke sana sebagai tetamu Allah yang dimuliakan.


Selamat Datang Nippon Maru


Nippon Maru membawa lebih 350 orang belia daripada 10 negara ASEAN dan Jepun kini sedang berada di Negara Brunei Darussalam. Kapal tersebut akan berlabuh di negara ini selama 4 hari bermula 6hb - 9hb November 2008.

Selama berada di negara ini, para peserta kapal belia asia tenggara tersebut berpeluang untuk mengetahui dan merasakan sendiri kehidupan, kebudayaan dan suasana di negara ini. Semalam sebahagian mereka telah mengadakan lawatan ke Pusat Ehsan dan Mukim Tamoi di Kampong Ayer. Hari ini para peserta mengikuti program keluarga angkat yang membolehkan mereka tinggal bersama keluarga-keluarga angkat di negara ini.

Setiap kali Nippon Maru berlabuh di negara ini, sudah pasti akan membawa kenangan yang manis bagi saya sendiri kerana saya adalah salah seorang peserta kapal belia tersebut pada tahun 1991... Kalau dulu peserta-pesertanya cuma daripada 6 buah negara ASEAN (Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand) dan Jepun dan kapal tersebut singgah di kesemua negara-negara ASEAN sebelum destinasi terakhirnya di Tokyo, Jepun..

Selamat Datang Nippon Maru...

Wednesday, 5 November 2008

Konvokesyen UBD

Tahniah kepada anak kemenakan saya Mohd Fathul Hakeem di atas kejayaan mendapatkan diploma pendidikan daripada Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober 2008.

Mohd Fathul kini ditugaskan di Sekolah Rendah Puni, Temburong sejak 1hb November 2008. Diharapkan semoga bertugas dengan penuh dedikasi demi mendidik anak bangsa menjadi orang-orang yang berjaya dan berguna kepada negara.