Thursday, 18 June 2009

Kekosongan setelah kepergian ibu

Kini sudah masuk dua minggu ibu saya kembali ke rahmatullah.

Betapa jauh berbezanya suasana di rumah sejak kepergian ibu saya. Ibu saya bukan jenis yang banyak bunyi atau bercakap benda-benda yang tak tentu arah. Beliau lebih suka mendiamkan diri. Sepanjang kehidupannya, beliau lebih suka berdikari dan seorang yang gigih bekerja. Jarang banyak masanya dibiarkan terluang begitu sahaja. Satu sikap yang patut dicontohi. Beliau juga tidak suka meminta-minta daripada anak-anaknya.

Ya Allah, ampuni dosa-dosa kedua ibu bapa ku dan kasihilah mereka sebagai mana mereka telah mengasihiku semasa aku masih kecil.

Al-Fatihah

Saturday, 13 June 2009

Farshi Turab



Sebuah lagu untuk renungan kita semua bahawa satu hari nanti semuanya akan berakhir dengan kematian. Segala kesenangan dunia akan kita tinggalkan; harta yang kita bekerja siang malam untuk mengumpulkannya akan kita tinggalkan, suami atau isteri dan anak-anak yang kita sayangi akan kita tinggalkan, pangkat dan kedudukan akan kita tinggalkan. Cuma iman dan amal kebajikan saja yang akan mengiringi kita dalam perjalanan kita menuju akhirat.

Tiada yang kekal melainkan Dia iaitu Allah yang Maha Hidup

Kematian satu kemestian

Isya, 3hb June 2009, menyaksikan kembalinya seorang insan ke hadirat Illahi sebagai memenuhi perjanjian antaranya dengan Illahi bahawa pada suatu hari nanti ianya akan kembali kepada Nya setelah singgah sebentar di muka bumi ini.

Kematian adalah satu kemestian yang mesti dilalui oleh seorang insan bagi menghadapi kehidupan yang lebih kekal di alam akhirat nanti. Kepergian seorang insan telah memutuskan nikmat dunia yang pernah Allah berikan kepada Nya. Maka beruntunglah sesiapa yang telah memenuhi hidupnya dengan iman dan amal kebajikan yang penuh ikhlas kepada Allah.

Kepergian ibu ku menemui Allah seiring dengan laungan azan Isya dilepaskan dengan penuh kerelaan dan keredhaan. Perginya dengan penuh ketenangan menemui Illahi. Memang terasa sedih dengan kepergiannya, akan tetapi aku merasa bersyukur dengan tenangnya kepergiannya. Ya Allah rahmatilah ibuku dan terimalah semua amalannya selama hayatnya di muka bumi ini. Amin

Innalillahi wainna ilaihi rajiuun....