Friday, 2 September 2011

Ceramah...

Baru-baru ini satu ceramah telah diadakan di TelBru yang berkisar tentang nuzul al-quraan. Penceramah yang dijemput ialah Ust. Hj Ahmad Abdussalam bin Hj Abdul Rahman, salah seorang pensyarah di Universiti Sultan Syarif Ali (UNISSA). Beliau memang tidak asing lagi di TelBru kerana pernah beberapa kali menerima jemputan untuk berceramah di sini.

Isi ceramah beliau berkisar tentang Al-Quraan, penurunan Al-Quraan daripada Luh Mahfuz ke Langit Dunia dan diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad selama kira-kira 23 tahun. Betapa uniknya mukjizat Al-Quraan ini kerana ianya dapat menjawab persoalan-persoalan yang berlaku terhadap manusia, tentang ilmu yang terdapat didalamnya yang telah disebutkan 1400 tahun yang lalu yang cuma baru dapat diperjelaskan oleh ilmu sains moden pada masa ini. Ini adalah sebagai bukti bahawa ianya adalah kitab yang benar dan membetulkan kembali segala perkara-perkara yang diselewengkan oleh kitab-kitab yang dianggap benar oleh pengikut-pengikut agama lain selain Islam.

Tohmahan yang mengatakan bahawa kitab ini ditulis oleh Nabi Muhammad dapat dengan berhimahnya ditangkis oleh Al-Quraan melalui cabaran Allah supaya manusia mencipta Al-Quraan yang serupa dengannya. Memang banyak cubaan untuk menulis dan menyelewengkan Al-Quraan, tetapi Allah dengan jelas menyatakan bahawa manusia tidak akan dapat mendatangkan sesuatu yang serupa Al-Quraan walaupun semua cerdik pandai itu dikumpulkan untuk tujuan itu.....

Subhanallah.... Maha Suci Allah....

Kebersihan....

Salam Aidilfitri....

Alhamdulillah, hari raya aidilfitri datang lagi setelah sebulan kita berpuasa.. Hal yang ingin saya bicarakan disini ialah perihal kebersihan... di mana? kenapa? Tempat yang saya maksudkan ialah di tanah-tanah perkuburan... hal ini berlaku setiap tahun... Seusai sahaja tamat sanak keluarga berkunjung ke pusara keluarga mereka yang telah pergi... pasti akan ada botol-botol yang ditinggalkan berselerak di jalan masuk ke tanah perkuburan tersebut.. yang digunakan untuk menyiram aying asah-asahan. Kenapa terjadi sedemikian?.... entah .. apa saja yang difikirkan oleh orang-orang seperti ini...mungkin malas, atau mungkin sudah tabiat mereka... kenapa botol-botol tersebut tidak dibawa pulang bersama dan dibuang di tempat yang sepatutnya... di dalam tong-tong sampah...

Ingat lah wahai insan... suatu hari kamu akan pergi jua dan sukakah kamu kalau tempat tinggal kamu itu nanti dipenuhi dengan sampah sarah seperti itu... Fikir-fikirkan lah...

Monday, 4 July 2011

Bulan Syaaban Datang Lagi

Bulan Syaaban datang lagi menghadirkan dirinya. Ini bermakna tak lama lagi kita semua akan mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadan. Bulan yang penuh keberkatan, kebajikan dan keampunan...

Sepanjang bulan Syaaban ini, kita semua dianjurkan untuk memperbanyakkan puasa sunnat yang antara lainnya sebagai persediaan untuk menempuhi puasa bulan Ramadan nanti dan juga untuk mengaut sebanyak-banyaknya fadilat yang dikurniakan oleh Allah sepanjang bulan Syaaban ini seperti mana petikan daripada kitab Mukashafah Al Qulub karangan Imam Ghazali

"Dirawikan dari Umamah al-Bahili ra dia berkata. "Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda " Manakala masuk bulan Syaaban, sucikan dirimu dan perbaiki niatmu."

Dari Aisyah ra, dia berkata, "Rasulullah berpuasa sehingga kami mengatakan, "Tidak berbuka dan berbuka sehingga kami katakan tidak puasa dan kebanyakkan puasanya adalah di bulan Syaaban."

Dalam hadis Bukhari Muslim, dari Aisyah ra, dia berkata, "Aku tidak meliaht sama sekali Rasullah menyempurnakan puasanya sebulan kecuali bulan Ramadan dan aku tidak pernan melihat baginda lebih banyak puasanya daripada bulan Syaaban."

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan-amalan kita di bulan ini dan sama-sama memohonkan keredhaan Allah jua.

Hadiah dari seorang kawan

Beberapa bulan yang lalu saya menerima hadiah daripada seorang kawan lama saya yang sudah beberapa tahun tidak bertemu. Kawan saya ini juga mempunyai minat yang sama...apa lagi kalau bukan membaca... dia ini pun tak kurang ulat bukunya....

Buku pertama yang dihadiahkan merupakan himpunan kisah-kisah yang menarik untuk menjadi renungan tentang hidup, alam yang bakal kita lalui nanti, soal cinta kepada Allah dan banyak lagi. Buku ini diangkat daripada kitab karangan Imam Al-Ghazali bertajuk Mukasyafah Al-Qulub (Penenang Jiwa).

Buku kedua yang saya terima ialah Kalau Ingin Berjaya, Solat Lah. Buku ini menerangkan kaitan usaha manusia dengan solat, sebagaimana yang dibuat oleh ulama-ulama yang sentiasa mendahulukan solat dalam apa juga usaha mereka.

Terima kasih buat sahabat saya kerana hadiah-hadiah tersebut. Semoga Allah memberkati segala usaha mu dan pemberian mu.

Friday, 17 June 2011

Selamat bertemu kembali

Sudah sekian lamanya saya tidak mengemaskinikan blog ini...semuanya gara-gara kemudahan seperti facebook yang tidak memerlukan banyak kerenah untuk mengakses dan memuat-naik bahan. Walau bagaimana pun, blog ini adalah wadah untuk saya mengemukakan pendapat dan isi hati mengenai dengan apa yang terjadi pada diri saya, keadaan sekeliling dan sebagainya.


Baru-baru ini saya dihadiahkan buku motivasi oleh seorang rakan saya yang mempunyai minat yang sama iaitu membaca. Buku ini berjudul Cerita-Cerita Motivasi untuk Pemimpin hasil olahan pakar motivasi, Dato Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan pengurus PTS Millenia Sdn Bhd, Fauzul Na'im Ishak.

Buku ini padat dengan contoh-contoh kepimpinan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam pada zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu. Sebagai contoh saya petik sebuah cerita mengenai dengan Salman Al-Farisi.

Pada suatu hari yang panas terik, seorang pedagang dari negeri Syam baru tiba ke Madain. Beliau membawa barang-barang dagangan yang banyak dan berat. Keadaan di pasar itu sibuk sekali. "Hoi!", pedagang itu berteriak memanggil seorang pemuda yang berbadan tegap tetapi pakaiannya lusuh.

"Mari ke mari! Tolong angkat barang-barang ini ke kedai di seberang jalan sana. Nanti saya bayar upahnya," kata pedagang itu lagi. "Baik," kata pemuda itu. Dia pun datang mendekati pedagang dari negeri Syam itu. Pemuda itu seorang yang tinggi, rupanya elok, kulitnya yang putih kekuning-kuningan, matanya perang tua dan hidungnya mancung.

"Bagus. Nasib baik kau ada," kata pedagang itu. "Tunduk!" dia memerintah pemuda itu, "Biar saya letakkan bungkusan ini ke atas belakang mu." Pemuda itu pun tunduk. Pedagang itu meletakkan bungkusan yang besar dan berat ke atas belakangnya. "Jalan!" kata pedagang itu.

Dengan susah payah pemuda itu menanggung beban berat di belakangnya, berjalan menyeberang jalan yang sibuk di pasar itu. Si pedagang berjalan di belakangnya dengan membawa barang-barang yang lebih ringan.

Tiba-tiba ada seorang datang dengan gopoh-gapah mendekati pemuda itu. 

"Tuanku! Tuanku!" kata lelaki itu. "Mari! Biar saya saja yang mengangkatnya!"

"Tidak mengapa," kata pemuda itu. "Saya boleh mengangkatnya sendiri."

"Jangan, tuanku. Tidak patut seorang gabenor mengambil upah mengangkat barang," kata lelaki itu. Dia cuba menurunkan beban itu daripada belakang pemuda tersebut.

Mendengar dialog antara pemuda dan lelaki itu, pedangan Syam itu terpinga-pinga.

"Siapakah pemuda ini?" tanya pedagang kepada lelaki itu. "Masakan tuan tidak kenal?"

"Tidak, sungguh saya tidak kenal. Saya bukan orang sini. Saya orang Syam, baru sekali datang berniaga ke mari," kata pedagang itu.

"Tuanku ini gabenor yang dikirim ke mari oleh Khalifah Umar bin Khatab di Madinah. Beliau ini Salman Al-Farisi!"

"Ampunkan saya tuanku, sungguh saya tidak tahu."

"Tuan tidak bersalah," jawab gabenor itu.

"Letakkan barang-barang saya itu, tuanku. Biar saya angkat sendiri."

"Tidak, tadi saya sudah sanggup melakukan kerja ini. Jadi saya akan tunaikan janji saya. Biar saya angkat sampai ke kedai sana," kata gabenor itu.

"Tapi tuanku seorang gabenor, tidak patut mengangkat barang-barang saya," pedagang itu memprotes. "Tugas ini tidak kena mengena dengan jawatan saya," jawab gabenor itu lagi.

Gabenor itu pun bergerak semula menuju kedai di seberang jalan. Selepas sampai ke pintu kedai itu barulah gebenor itu meletakkan barang berat itu ke tanah.

Katanya lagi, "Tadi saya sudah menerima perintah saudara dengan rela hati, jadi saya wajib melaksanakan tugas ini sampai selesai."

Pedagang tersebut hanya mengeleng-gelengkan kepalanya.

"Bukankah meringkankan beban orang lain itu suatu kewajiban?", kata gabenor.

Pedagang tersebut terus mengeleng-gelengkan kepalanya.

Nama gabenor Salman diberi tambahan Al-Farisi sebab beliau berasal dari negara Iran. Beliau merupakan orang bukan Arab yang pertama masuk Islam.

Demikianlah luhurnya hati seorang pemimpin Islam yang tidak berusaha untuk menunjukkan kekuasaanya dikala beliau mampu melakukannya tetapi dengan sikap tawaduk dan rendah diri bersedia memikul amanah walaupun terhadap orang yang tidak sama tarafnya dengan beliau.

Hanya Allah sebaik-baik pemberi rahmat dan keampunan yang meletakkan hidaayah dalam hati orang-orang yang dikehendakiNya.