Monday, 21 September 2009

Permulaanya Rahmat, Pertengahannya Pengampunan dan Penghujungnya Pembebasan dari Api Neraka

Ketidak nampakan anak bulan Syawal pada petang hari Sabtu, 19hb September 2009, bermakna umat Islam di Negara Brunei Darussalam memulakan hari raya aidil fitri 1430H tahun ini pada hari ini, 1 Syawal 1430 bersamaan dengan 21hb September 2009.

Dengan tambahan satu hari kelmarin, membolehkan umat Islam di negara ini, menyelesaikan apa-apa jua yang belum siap dilaksanakan seperti membayar zakat fitrah, persiapan terakhir seperti membeli barang-barang keperluan dan menghias rumah.

Walau apa pun, peluang tersebut seboleh-bolehnya diisikan untuk meraih pahala berganda yang dijanjikan oleh Allah sepanjang bulan Ramadan dimana setiap amalan yang wajib digandakan sehingga 70 kali ganda dan amal-amal sunat diberikan pahala seperti melakukan amal-amal wajib. Sungguh satu rahmat yang besar yang diberikan oleh Allah.

Berkebetulan semalam, saya sempat bersembahyang berjemaah Asar di Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan. Saya berpeluang menyaksikan betapa ramai umat Islam yang mengambil peluang-peluang terakhir tersebut. Alhamdulillah.....

Hujan lebat yang turut pada petang semalam sebelum masuk waktu Maghrib bagaikan satu lagi rahmat daripada Allah terhadap umatnya di bumi Brunei Darussalam ini.

Betullah Ramadan itu permulaannya Rahmah, Pertengahannya Keampunan dan Pengakhiran Keselamatan daripada Api Neraka...

Ya Allah, pertemukan aku lagi dengan Ramadan yang akan datang... Amin.



Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430H

Assalamualaikum Semua Kaum Muslimin dan Muslimat di mana saja berada....




Hari ini, 21 hb September 2009, adalah merupakan hari pertama umat Islam di Negara Brunei Darussalam menyambut hari raya aidil fitri.

Oleh kerana kesibukan sepanjang bulan Ramadan yang telah berlalu, saya sendiri terlupa untuk mengirimkan kad hari raya seperti tahun-tahun sebelumnya. SMS menjadi pengganti kiriman kad hari raya.

Bagi kami sekeluarga, hari raya tahun ini jauh berbeza tahun-tahun sebelumnya. Kepergian ibu saya pada bulan Jun yang lalu menyebabkan suasana hari raya yang agak janggal. Terasa sangat kesunyian terutama bagi anak-anak yang sudah terbiasa dengan kehadiran nenek mereka. Tapi apakan daya, Allah lebih mengasihinya dengan memanggilnya semula kehadiratNya. Sekalung Al-Fatihah buat arwah ibu saya....