Thursday, 26 February 2009

Hujan...

Setelah hujan lebat yang melanda Brunei Darussalam pada bulan Januari dan awal Februari, cuaca mula beransur panas pada pertengahan bulan Februari membawa kepada hari kebangsaan. Cuaca agak panas ketika sambutan hari kebangsaan membuatkan banyak peserta yang mengambil bahagian mengalami masalah kesihatan.

Tetapi suasana bertukar pada waktu malam selepas hari kebangsaan tersebut. Cuaca yang pada siangnya panas bertukar menjadi hujan dan menurut sebahagian laporan, ada beberapa tempat yang mengalami banjir kilat walaupun sekejap dan tidak menjejaskan keadaan seperti yang berlaku sebelum ini.

Malam tadi selepas dikir maulud di Masjid Kampung Masin, hujan turun agak lebat sehingga menyebabkan sebahagian jalan Kg Bunut, Madewa dan Telanai ditenggalami air. Mujur juga tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan, tanah runtuh dan sebagainya.

Dikir Maulud....


Dikir Marhaban

Hari ini sudah masuk malam ke 5 berlangsungnya dikir maulud sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah di seluruh negara. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja, umat Islam di negara ini tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan Maulud Nabi dengan berbagai aktiviti yang bertujuan untuk menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad yang mana acara kemuncaknya ialah perarakan Maulud Nabi pada 9hb Mac 2009 yang menjadi sambutan peringkat negara sejak dahulu lagi.


Hari Kebangsaan ke 25 bah.3

Sebahagian lagi gambar semasa Hari Kebangsaan ke 25 tahun




















Wednesday, 25 February 2009

Hari Kebangsaan ke 25 bah. 2

Sebahagian lagi gambar yang sempat dirakam pada hari Kebangsaan ke 25 pada 23hb Februari 2009 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Monday, 23 February 2009

Hari Kebangsaan ke 25

Hari ini adalah hari bersejarah bagi rakyat dan penduduk negara ini. Hari ini sudah 25 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan dan pemerintahan sendiri untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.



Buku kenang-kenangan Hari Kebangsaan


Sebahagian orang ramai yang hadir


Perbarisan lalu







Sunday, 22 February 2009

Doa Kesyukuran Sempena Jubli Perak Hari Kebangsaan bah. 2

Alhamdulillah, para pemimpin negara ini bersama dengan rakyaat negara ini yang beragama Islam telah bersama-sama menunaikan solat berjemaah Maghrib dan Isya' di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah di seluruh negara disamping membaca surah Yaasin beramai-ramai dan doa sempena jubli perak hari kebangsaan.

Di masjid yang saya kunjungi petang dan malam tadi, majlis yang sama turut diadakan selepas solat Maghrib. Alhamdulillah, sambutan daripada jemaah yang datang cukup menggalakkan.


Doa Kesyukuran Sempena Jubli Perak Hari Kebangssan

Maghrib petang ini akan menyaksikan satu lagi simbol beragama di negara ini dengan acara sembahyang berjemaah Maghrib dan Isya' disertai dengan bacaan Yaasin dan Doa Kesyukuran sempena dengan sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh negara ini adalah kurnia Allah yang sepatutnya kita syukuri dengan memperbanyak amalan-amalan yang diperintahkan Allah dan menjauhi apa yang dilarangNya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud ".... jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat Ku.....".


Pemimpin dan rakyat bersama-sama memanjatkan syukur kepada Illahi...

Janganlah kesenangan dan kemakmuran yang ada ini, menjadikan kita lalai dan kufur ingkar, kerana Allah pada bila-bila masa saja boleh menarik kembali nikmat tersebut. Jadilah kita sebagai umat Islam Brunei yang semakin bersyukur, beriman dan beramal sejajar dengan bertambahnya kurniaNya. Amin...


Tinggal satu hari saja lagi....



Kini tinggal satu hari saja lagi menjelang hari kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 25 tahun.

23hb Februari 2009 adalah hari yang sangat bersejarah dalam perkembangan negara ini. Sudah setentunya, rakyat dan penduduk negara ini tidak sabar lagi untuk meraikan hari yang bersejarah ini. Esok Stadium Negara Hassanal Bolkiah akan bergema dengan semangat patriotik dan kebangaan di atas kejayaan negara selama 25 tahun mencapai pemerintahan sendiri.

Semoga Brunei Darussalam akan menjadi negara yang maju dengan petunjuk Allah. Amin....

Monday, 16 February 2009

Lagi keindahan Pantai Seri Kenangan

Sebahagian lagi keindahan Pantai Seri Kenangan yang sempat saya abadikan kelmarin...


Buah pandan laut...



kulit kerang yang menarik...



kumpulan kulit kerang yang banyak menghiasi pantai...


Kemalangan

Malam tadi satu kemalangan yang menyebabkan kematian telah berlaku. Sungguh kejadian-kejadian seperti ini sangat mengerikan dan akan meninggalkan kesan yang mendalam buat keluarga mangsa.

Pihak polis telah banyak mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya, akan tetapi saban hari kemalangan-kemalangan seperti ini semakin meningkat. Apakah sebabnya? Memang mungkin ini takdir Illahi, akan tetapi jika kita semua berikhtiar untuk mengelakkannya, insya Allah, perkara seperti ini mungkin dapat dihindarkan seperti memandu dengan perlahan dan mengikut arahan dan papan tanda di jalan raya.



Marilah kita sama-sama berusaha mengelakkan kemalangan ngeri seperti ini.


Pantai Seri Kenangan....

Pantai Seri Kenangan yang terletak di pesisir laut di daerah Tutong adalah merupakan salah sebuah pantai yang menarik di Negara Brunei Darussalam.

Kedudukan pantai yang dekat dengan air laut menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat tarikan pengunjung pada setiap minggu. Di tepi pantai disediakan pondok-pondok yang cantik untuk berpiknik dengan keluarga atau teman-teman. Ditambah lagi dengan keadaan pasir pantai yang bersih.

Kelmarin, saya dan keluarga mengambil kesempatan berkelah di Pantai Seri Kenangan bersama-sama dengan abang saya sekeluarga dan keluarga mertuanya.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti bbq, bermain skuter pantai dan bermain bola pantai. Ada juga diadakan para gliding oleh peminat-peminat sukan tersebut.


bbq sayap ayam... hmm sedapnya..


goreng cempedak....


Naik skuter pantai....$10 untuk 30 minit


bermain bola pantai



bermain para-gliding


Thursday, 12 February 2009

Di sebalik banjir....

Sepanjang perjalanan menyusur daerah-daerah baru-baru ini, saya dapat perhatikan betapa bencana yang berlaku telah benar-benar memperlihatkan keprihatinan semua pihak kepada mangsa-mangsa banjir dan tanah susur melalui bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak Kerajaan, swasta, orang-orang perseorangan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Di daerah Belait misalnya, dengan bantuan daripada pihak-pihak tersebut telah membolehkan orang ramai yang terkandas akibat jalan yang dinaiki air untuk berulang alik dari Labi ke tempat mereka bertugas di Pekan Seria atau Belait melalui sungai. Syabas diucapkan kepada mereka semua.

Wednesday, 11 February 2009

Kibarkan bendera....

Salah satu cara memberigakan sambutan hari kebangsaan ialah pengibaran bendera negara bermula daripada 8hb Februari.

Bagi orang-orang yang diberikan gelaran dan pengiran-pengiran mereka dikehendaki mengibarkan bendera-bendera peribadi mereka, manakala orang ramai dikehendaki mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Bangunan-bangunan kerajaan dan swasta juga turut memasang bendera kebangsaan di pejabat-pejabat mereka. Akan tetapi ada juga rumah-rumah di kawasan bandar yang saya perhatikan masih belum memasang bendera di rumah-rumah mereka. Hai, kemana bendera mereka? Jangan mahu kalah kerana penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman pun tidak ketinggalan turut serta menyemarakkan sambutan hari kebangsaan yang ke 25 tahun ini.

Sebahagian daripada gambar-gambar yang sempat saya rakamkan semasa lawatan ke ulu Belait baru-baru ini.


Bukit Sawat


Rumah Panjang Bukit Teraja

Monday, 9 February 2009

Al-Muallim

Satu lagu yang menarik daripada Sami Yusuf... Al-Muallim yang mengisahkan tentang seorang insan yang agung; Muhammad Rasulullah.

Saturday, 7 February 2009

Atas Dasar Apa kita beribadah kepada Allah...

Kerana apa kita beribadah kepada Allah?

Seorang ustaz pernah bertanyakan soalan di atas kepada satu kumpulan. Pelbagai jawapan diberikan kepada persoalan tersebut; ada yang kata kerana pahala, kerana syurga dan sebagainya. Ustaz tersebut mengatakan jawapan itu betul, tetapi untuk menerangkannya, ustaz tersebut membuat perbandingan diantara seorang ayah dengan anak-anaknya. Si Ayah yang baru pulang daripada bekerja memanggil anaknya untuk mengambilkan air minuman.


Anak pertama, yang sedang sibuk bekerja, dengan rasa berat dan kaki menghentak berlalu ke dapur untuk mendapatkan air dan meletakkan di atas meja dan berlalu. Dasar ini dinamakan terpaksa - buat, buat juga tapi dengan rasa berat dan terpaksa

Di hari yang lain, kebetulan anaknya yang kedua pula yang dipanggil. Si anak sebelum berlalu ke dapur bertanya kepada ayahnya apa yang boleh ayahnya berikan. Si ayah dengan sifat penyayangnya menjanjikan sesuatu kepada ayah. Dengan kenyataannya si ayah, si anak segera berlalu dan mendapatkan air yang dikehendaki. Dasar ini adalah kerana upah - sama seperti seseorang yang berniaga, kerana mengharapkan imbalan.

Di hari yang lain pula, giliran si anak ketiga pula. Si anak yang terdidik untuk takut kepada ayahnya dengan rasa takut menurut saja permintaan ayahnya untuk mengambil air dan beredar dengan segera selepas itu. Dasar kerana takut - disuruh satu, dibuat satu, adalah satu langkah kepada kemanisan beribadah.

Pada hari yang lain pula, giliran si anak ke empat pula. Si anak yang memang manja dengan si ayah dengan rasa penuh kasih sayang beredar ke dapur untuk mendapatkan air. Si anak menyediakan air teh yang segar dan menghidangkannya kepada ayahnya beserta dengan satu piring biskut. Selepas itu, si anak duduk bersama ayahnya dan bertanya mengenai dengan hari yang telah dilaluinya dan mereka saling bertukar bercerita mengenai dengan apa yang mereka alami pada hari tersebut. Inilah dasar yang terbaik iaitu kerana sayang - di suruh satu, dibuat sepuluh.

Sewajarnya kita berusaha untuk menempatkan diri kita di kedudukan ke 4 iaitu beribadah kerana kita sayang kepada Allah, sama seperti si anak yang mencurahkan kasih sayangnya kepada si ayah dan begitu juga lah sebaliknya di antara si ayah kepada si anak. Dengan perasaan kasih sayang dan tauhid kita kepada Allah, baru lah kita dapat memberikan satu amal ibadah yang terbaik dan seterusnya akan dibalas dengan yang terbaik juga oleh Allah.

"Jika engkau dekat dengan Ku sehasta, Aku akan dekat dengan mu sejengkal". Begitulah pengasihnya Allah kepada umatnya yang mendekatkan diri kepada Nya.


Lagi Mengenai Keindahan Brunei Darussalam.....


Nelayan menangkap ikan di perairan Sungai Brunei



Burung bangau mencari makanan di kawasan pokok nipah



Papan tanda mengalu-alukan kedatangan ke daerah Temburong



Pemandangan pokok tarap di sepanjang Jalan Bokok, Temburong


Friday, 6 February 2009

Keindahan Semula Jadi negara kita...

Di sebalik keributan akibat banjir dan tanah susur, baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk mengunjungi beberapa tempat di negara ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara kita juga mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi.


Menyusuri Sungai Mau, Daerah Belait


Kehijauan pokok-pokok di sepanjang perjalanan



Lukut sejenis tumbuhan penumpang yang banyak terdapat di hutan hujan khatulistiwa


Terserempak dengan anak buaya yang sedang berehat di atas sebatang kayu

Thursday, 5 February 2009

Jubli Perak Hari Kebangsaan


Hari Isnin yang lalu, saya menerima kad jemputan untuk menghadiri sambutan jubli perak hari kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Sambutan akan diadakan pada hari Isnin, 23hb Februari 2009 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Sudah barang setentunya jemputan yang diberikan ini akan dipenuhi pada hari bersejarah itu nanti.



Jika dikira daripada perkiraan umur manusia, 25 tahun adalah satu jangkamasa yang boleh dianggap matang dari segi berfikir dan bertindak. Begitu juga halnya dengan Negara Brunei Darussalam yang kita cintai ini. Sepanjang 25 tahun, kita telah sama-sama duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang sudah lama mencapai kemerdekaan mereka. Sesuai dengan tema hari kebangsaan tahun ini iaitu Kedewasaan Bernegara.

Marilah kita rakyat di negara ini beramai-ramai meraikan jubli perak hari kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan iringan doa semoga Negara Brunei Darussalam akan kekal menjadi sebuah negara yang aman, merdeka, berkembang maju dan pesat dalam semua hal.... Amin




Sunday, 1 February 2009

Januari meninggalkan kita....

Kini sudah sebulan tahun 2009 berlalu.... Bulan Januari meninggalkan banyak kenangan-kenangan manis dan pahit. Mari kita imbau kembali apa sebahagian peristiwa yang telah berlaku sepanjang bulan Januri 2009 di Negara Brunei Darussalam dan sekitar antarabangsa.

Peristiwa besar yang menjadi sebutan ialah berlakunya banjir kilat yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan rendah di negara ini seperti Gadong, Mulaut, Jangsak, Bunut, Seria, Tutong dan Kuala Belait. Banyak harta benda yang musnah akibat banjir tersebut. Apakah ini suatu bala, cubaan atau peringatan? Dilaporkan bahawa keadaan cuaca ini akan berterusan sehingga awal bulan Mac nanti.

Satu lagi peristiwa yang menjadi bualan ramai ialah pengagihan lebihan kumpulan zakat yang disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang berjumlah hampir $240juta. Orang ramai heboh memperkatakan apa yang telah terjadi dan bagaimana kumpulan wang zakat tersebut diagih-agihkan kepada yang berhak menerimanya. Sehari selepas titah tersebut, ramai orang berebut-rebut untuk mendapatkan borang permohonan zakat selaku salah seorang daripada asnaf yang layak. Pihak yang berwajib sudah setentunya akan melakukan pemeriksaan yang teliti sebelum permohonan mereka diluluskan.

Penghujung Januari juga membawakan perasaan yang cukup mendebarkan bagi penuntut-penuntut yang menduduki peperiksaan peringkat O dan A. Perasaan yang sama juga turut dirasakan oleh ibu-bapa penuntut-penuntut tersebut. Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan dan berbaloi rasanya usaha yang telah dicurahkan. Pastinya orang tua mereka adalah antara orang-orang yang paling gembira dengan kejayaan anak-anak mereka. Kepada yang kurang berjaya, teruskan berusaha sehingga kejayaan itu berada dalam genggaman.

Di peringkat antarabangsa, hubungan di antara Brunei dengan Filipina semakin bertambah kukuh berikutan keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke Republik Filipina. Sudah setentunya banyak perkembangan yang baik dibincangkan bersama.

Bulan Januari juga mencatatkan sejarah bagi demokrasi di Amerika di mana Presiden Barak Obama dilantik secara rasmi menjadi Presiden Amerika yang ke 44. Presiden Obama adalah presiden Amerika yang pertama daripada keturunan Afrika. Ayuh Presiden Obama, mainkan peranan mu selaku pengerak perubahan seperti yang dijanjikan untuk mendorong kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Berlaku adillah dalam pemerintahan mu.

Kaum Cina di seluruh dunia juga merayakan tahun baru Cina pada bulan Januari lalu dengan perayaan-perayaan yang pelbagai. Di negeri China sahaja berjuta-juta penduduk yang berasal daripada kawasan luar bandar meninggalkan kota-kota raya besar untuk pulang merayakan tahun baru ini. Akhbar tempatan melaporkan lebih 100 juta orang pulang ke kampung masing-masing yang mana memberikan impak yang besar kepada sistem pengangkutan negara tersebut.

Pertempuran di Gaza juga meninggalkan lebih banyak korban berikutan serangan tentera rejim Israel ke perkampungan di sekitar Gaza. Ramai penduduk menjadi korban termasuk anak-anak dan orang-orang tua. Sampai bilakah berakhirnya sengketa ini? Marilah kita semua menghapuskan rasa dendam sesama kita untuk menjadikan dunia ini lebih aman.